KENALI INSTRUMEN PELABURAN DAN RISIKONYA

" Kalau aku beli emas okay tak ? Orang cakap emas ni kalis inflasi. "

" Masuk duit dalam unit trust la senang. Malas nak fikir. Ini baru definisi duit kerja untuk kita. "

" Aku masuk dalam ASB jela. Kurang-kurang 5% dapat setahun. Oklah. Nak duit geli-geli je."

Inilah antara pendapat majoriti masyarakat Malaysia bila bercakap mengenai ke mana wang mahu dilaburkan. Ada nak beli emas, ada nak masukkan dalam unit trust, ada nak labur saham sendiri, ada nak main forex (baca: haram) dan macam-macam la. Tapi sebelum kita nak mula melabur, perkara asas yang kita kena faham ialah soal risiko. Kita tak boleh lari dari risiko. Tak ada pelaburan tanpa risiko dan pulangan semata-mata. Pelaburan tanpa elemen risiko ialah pelaburan yang haram menurut kaedah fiqhiyyah "Al-Ghurm bil Ghunm"  yang bermaksud pulangan disertakan dengan risiko. Artikel kali ini aku akan perkenalkan dekat kau orang jenis-jenis pelaburan yang ada dan risikonya.

INSTRUMEN PELABURAN

Ada banyak instrumen pelaburan yang wujud di muka bumi ini. Antaranya termasuklah emas, saham, unit amanah, REIT, ETF, bon/sukuk, kripto, dan komoditi. Bagi mereka yang tidak terlibat dan mempelajari ilmu pelaburan dengan mendalam pasti kurang familiar dengan terma seperti REIT dan ETF. Jangan risau, teruskan pembacaan kau orang. Aku akan explain one by one. Tapi secara ringkas. Kalau nak ulasan lebih teknikal mungkin perlukan artikel lain.

SAHAM

Mesti kau orang selalu dengar pasal saham ni. Alaa, yang tak hensem takpe janji kaya tu haha. Ok put joke aside. Saham ini adalah pegangan syer (shares) dalam sesuatu syarikat. Sebagai contoh, syarikat Apple ada menawarkan sejumlah 1000 unit saham dan kita beli. Jadi, secara teknikalnya kita dah jadi sebahagian daripada pemilik Apple. Nak mudah faham, saham ini adalah pemilikan dalam syarikat. Macam mana dikira untung dalam melabur saham? Kita beli pada harga murah dan jual pada harga mahal. Contoh, saham Apple kita beli pada harga $10 seunit dan kita jual pada harga $100 seunit. Haa kira la sendiri berapa ROI (return on investment) dekat situ. Di Malaysia, kita melabur di Bursa Malaysia. Semua bank pelaburan dekat Malaysia memang sediakan platform jual beli saham di Bursa Malaysia. Cuma kalau pasaran luar negara tu ada sesetengah je sediakan tapi still banyak. Untuk topik ini aku akan cerita dekat artikel lain sebab panjang lebar.

UNIT AMANAH

Unit amanah atau unit trust/mutual fund boleh difahami sebagai satu kelompok/kumpulan yang melaburkan duit kita dalam instrumen pelaburan. Berbeza sedikit dengan saham di mana kita melabur sendiri di bursa, untuk unit amanah ini kita serahkan duit kepada satu kumpulan dan mereka laburkan untuk pihak kita. Ada banyak unit amanah dekat Malaysia. Yang paling mainstream sudah tentu ASB dan Tabung Haji. Ada juga yang lain tapi agak tinggi risikonya berbanding ASB dan Tabung Haji. Ada juga yang dipanggil private mandate di mana ia memerlukan modal yang besar untuk masuk melabur (baca: golongan kayangan).

EMAS

Aku rasa emas ini antara instrumen pelaburan yang terawal mendapat tempat di Malaysia selain saham dan hartanah. Dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini ramai dah dealer emas rancak mempromosikan pelaburan emas. Aku sendiri pun terlibat tapi aku masuk melalui Maybank Islamic Gold Account (MIGA). Aku pun taktau nak explain apa lagi dekat emas ini. Sebab straight forward je sebenarnya haha.

SUKUK

Sukuk atau dalam konvensional punya term dipanggil bond. Kalau masa aku belajar SPM dulu, bon ni dikenali juga dengan surat jaminan kerajaan. Biasanya sukuk ini dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan ada tempoh matang dia. Paling sekejap pun aku rasa 5 tahun tapi sangat rare. Kalau tempoh yang biasa antara 10 ke 20 tahun. Jadi, kita boleh faham yang sukuk ini adalah pelaburan jangka masa panjang. Sukuk ni mungkin aku kena buat artikel lain sebab instrumen dia terlalu teknikal dan aku kena study balik. Tapi, untuk mudah faham harga untuk sukuk ini memang besar dan orang biasa (pelabur runcit) macam kita tak boleh terlibat. Sukuk ini ada yield iaitu kadar pulangan selepas tamat tempoh matang tu. Sekadar maklumat tambahan, tahun lepas atau 2 tahun lepas kerajaan ada perkenalkan sukuk prihatin. Haa, yang itu pelabur runcit macam kita boleh masuk.

REIT

REITs stand for Real Estate Investment Trust. Untuk memudahkan pemahaman dan meringkaskan penjelasan aku, REIT ini macam beli saham jugak cuma kalau saham tu pegangan syarikat, kalau REIT ni pegangan unit hartanah. Something like that la. Aku taknak la pergi terlalu teknikal. Mudah fahamnya begitu. REIT ini ada didagangkan dalam Bursa Malaysia. Contohnya AXIS, KLCC, AL AQAR dan lain-lain. REIT ni ada bagi dividen setiap suku tahun. Jadi, kalau yang nak fokus pada dividen semata-mata boleh cuba melabur dalam REIT. 

ETF

ETF ini merujuk kepada Exchange Traded Funds. Ini pun satu lagi instrumen yang agak teknikal, tapi aku mudahkan pemahaman kau orang. ETF ini adalah gabungan indeks dan saham dalam satu bakul yang sama. Contoh kau orang labur dekat MyETF Dow Jones U.S. Titans 50. Secara teknikalnya kau orang melabur dekat pasaran AS dan menggunakan nilai dollar dalam pelaburan tu. Macam unit trust sikit tapi lebih kepada pasaran luar negara macam AS dan China.

KOMODITI

Komoditi ini merujuk kepada bahan mentah yang kita boleh laburkan jugak sebenarnya. Lebih tepat sebenarnya berdagang la. Bahan komoditi yang sering didagangkan termasuklah minyak kelapa sawit, minyak mentah, soya, aluminium, emas dan lain-lain. Cuma sekarang ini yang ramai orang mula terlibat dekat minyak kelapa sawit atau FCPO. Cara berdagang dekat FCPO ini pun sedikit berbeza berbanding saham. Aku nak cerita secara teknikal pun tak boleh sebab aku tak belajar. Aku sekadar tau asas je. 

KRIPTO

Mata wang kripto aku masukkan jugak dalam senarai sebab ini antara yang tengah trending sekarang. Bitcoin, Ethereum dan XRP antara mata wang kripto yang terkenal dan sering didagangkan. Bagi yang tak tahu, kripto ini adalah mata wang digital yang mana ia tak boleh digunakan dalam transaksi harian. Cuma ia boleh dicairkan dalam bentuk mata wang (fiat money) dan menurut Suruhanjaya Sekuriti hukumnya harus. Tetapi ada beberapa platform sahaja yang dibenarkan beroperasi menurut BNM antaranya seperti Luno. Aku antara orang yang tak gemar dengan kripto tapi hari demi hari kripto ini semakin dipercayai dan aku sempat buka akaun Luno. Tapi tak letak sebarang wang sebab masa tu pasaran kripto agak teruk.

Jadi itulah serba sedikit pengenalan bagi setiap instrumen pelaburan. Mungkin penjelasan aku ni takdelah begitu detail. Sekadar untuk menerangkan secara asas sahaja. Kalau kau orang nak aku buat satu artikel khusus bagi mana-mana instrumen pelaburan, boleh tinggalkan komen di bawah. Sekarang kita pergi pula kepada risiko pelaburan. Satu bahagian yang sangat penting sebelum kau orang mula melabur.

RISIKO PELABURAN

Setiap pelaburan mesti ada risiko. Macam aku terangkan awal-awal tadi, setiap pelaburan perlu disekalikan dengan risiko. Oleh itu, kita kena faham instrumen tu risiko dia macam mana dan kita boleh terima tak. Lain instrumen lain risiko dia. Sebagai contoh, pelaburan ASB dan TH dianggap sebagai pelaburan risiko paling rendah manakala pelaburan saham atau forex boleh dikatakan sebagai pelaburan berisiko tinggi. Selain itu, kita kena faham kadar kecairan sesuatu instrumen itu. Ini penting sebab ada pelabur yang all-in duit dalam sesuatu instrumen dan nak cairkan duit dalam kadar segera. Mengikut pengetahuan aku, ASB antara instrumen yang paling mudah dicairkan. Pelaburan hartanah pula yang paling sukar untuk dicairkan.

KONKLUSI

Artikel ini aku tulis sekadar untuk beri pendedahan dan asas pelaburan sahaja dengan mengenali beberapa instrumen pelaburan. Sekali lagi aku ingatkan, kau orang perlu membuat pembacaan tambahan dan belajar sendiri dengan lebih mendalam jika betul-betul nak melabur. Point yang aku bagi dalam artikel ini cuma starter pack dan untuk melengkapkan supaya betul-betul bersedia terpulang kepada kau orang. Just to recap, kenali dulu instrumen pelaburan itu kemudian tahu kadar risikonya serta kadar kecairannya bagaimana. Jadi itu sahaja untuk artikel kali ini. Sekian.

Nota kaki 1: Kenapa aku tak explain Forex dalam instrumen pelaburan. Yeah, sebab Forex dah difatwakan haram jadi kenapa aku perlu explain. Nampak macam aku menggalakkan pulak. Tapi secara ringkas, kau orang berjual beli dengan mata wang asing. Analisis teknikal tak banyak beza dengan saham tapi lebih volatile (tidak menentu).

Nota kaki 2: Kenapa takde explain pasal hartanah. Sebab aku dah masukkan REITs dalam ni. Jadi aku sekalikan jela dekat situ sebab REITs tu pun basically hartanah tapi game dia lain. Cuma kalau pelaburan hartanah tu mungkin perlu artikel khusus.

Comments

Popular Posts