YOUTUBE MUSIC : ERA BARU PENSTRIMAN LAGU

Baru-baru ini aku subscribe Youtube Music buat pertama kali. Tapi sekarang ni masih dapat free trial sebulan. Bulan Oktober ni baru dia start charge sekitar RM6.90 sebulan sebab aku ambil pakej pelajar (walaupun teknikalnya aku bukan lagi pelajar haha). Jadi, sejak aku subscribe Youtube Music Premium haritu, aku ada menemui kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Untuk artikel kali ini aku akan tulis apa yang aku suka dan apa yang boleh diperbaiki Youtube Music pada masa akan datang.

APA ITU YOUTUBE MUSIC 


Tapi sebelum kita terus terjah masuk dengan lebih dalam, eloklah rasanya kalau aku perkenalkan dulu apa itu Youtube Music. Mungkin ada dari kalangan pembaca yang kurang familiar dengan YT Music. Secara asasnya, YT Music adalah sebuah platform penstriman musik sama seperti Apple Music, Spotify, JOOX, Deezer dan lain-lain. Sebenarnya YT Music dah wujud sejak 2015 lagi tetapi penggunaannya belum meluas pada ketika itu dek kerana pilihan pendengar lebih terarah kepada platform lain. Disclaimer, mungkin di Malaysia sahaja penggunaanya tidak begitu meluas. Mengikut data yang terkini, YT Music mempunyai 2 bilion pengguna dan 50 juta pelanggan (yang berbayar). Tak hairan kenapa 2 bilion pengguna sebab memang apa-apa lagu baru memang Youtube menjadi pilihan utama. Jadi, sebaiknya ukur daripada subscribers. Kalau dibuat perbandingan, Spotify (182 juta), Tencent Music (80.2 juta) dan Apple Music (60 juta).

APA PAKEJ DITAWARKAN YOUTUBE MUSIC 

Aku mungkin boleh pecahkan pakej ni kepada 4 bahagian. Yang pertama sekali pakej yang paling asas iaitu percuma. Aku rasa pakej percuma ni okay je as long kau orang okay kalau kena mainkan iklan dulu sebelum dengar lagu. Tapi pada aku benda ni macam potong la. Kita taknak la ada gangguan iklan time layan lagu. Tapi kalau kau orang okay just pakai jela pakej percuma ni. 

Kedua, pakej biasa dimana YT Music letakkan caj RM14.90 sebulan. Yang ini kau orang boleh strim tanpa had dan takde iklan. Dari segi harga, aku rasa berbaloi je. Nak kata mahal sangat pun tak murah sangat pun tak. Senang cerita mampu milik la. Tak jauh beza sangat dengan platform strim lain. 

Ketiga, pakej pelajar dimana yang aku langgan sekarang. Kau orang cuma perlu isi butiran dan upload dokumen yang membuktikan kau sedang belajar. Macam aku, aku bagi transkrip peperiksaan je. Untuk harga dia pulak RM6.90 sebulan. Ini memang function teruk la. Pakej termurah yang tersedia di YT Music. Ini antara sebab kenapa aku terus langgan sebab harganya sangat berpatutan. 

Yang terakhir sekali pakej keluarga yang didatangkan pada harga RM22.90 sebulan. Namapun keluarga, jadi takdelah seorang je boleh pakai akaun tu. Pakej keluarga ni membolehkan sehingga 5 orang untuk menggunakan akaun yang sama. Konsep macam Netflix tu.

APA YANG MENARIK DENGAN YOUTUBE MUSIC 

Aku ni jenis dengar banyak genre lagu. Lagu lama ke lagu baru semua aku layan asalkan sedap di dengar la. YT Music ni ada semua jenis lagu asalkan ia diupload ke Youtube walaupun bukan official account yang upload tu. Sebelum ni aku guna Spotify dan aku dapati ada beberapa lagu tak tersenarai sebab sama ada lagu itu lagu cover ataupun pemilik lagu tu tak upload di Spotify sebab mungkin memadai hanya di Youtube (terutama lagu lama). Yang membuat aku teruja dekat YT Music ni semua lagu ada. 

Satu lagi aku kena puji sistem radio dia. Ini bukan radio Era ke Hot Fm ke Suria ke apa semua tu. Radio ni merujuk kepada playlist la lebih kurang. Kau orang pilih satu lagu dan YT Music akan buatkan satu playlist berdasarkan lagu yang kau orang pilih. Yang aku nak puji sebab sistem dia tak carcamarba la. Kalau aku tekan lagu jiwang, semua lagu dalam radio ialah lagu jiwang. Jadi, takdela macam potong mood ke apa. Aku ni pemalas, sebab tu ambil satu lagu dan start radio. Kalau kau orang rajin buat lah satu playlist sendiri. Kalau dekat Spotify aku ada buat. Cuma dekat YT Music aku tak buat sebab aku rasa lagi senang kalau play radio terus.

APA YANG KURANG DENGAN YOUTUBE MUSIC

Sebenarnya kekurangan YT Music ni adalah kekurangan yang boleh dimaafkan. Bukanlah sampai aku turn off dan nak hentikan langganan aku. Antara kekurangan YT Music adalah tiada carta lagu-lagu Malaysia. Aku taktau sama ada aku yang tak explore habis lagi tapi sampai hari ini aku tengok takde carta lagu Malaysia. Berbeza dengan Spotify memang ada. Dekat YT Music ni paling hampir yang ada pun carta Indonesia. Tapi macam aku cakap, semua lagu ada dekat YT Music. Jadi kau orang search dan terus start radio. Itu jela solusi dia. 

Selain itu, tampilan lirik dekat YT Music tidak mesra karaoke. Aku ni seorang yang suka nyanyi la bila dalam kereta. Kadang-kadang nak feeling jadi artis, jadi aku akan sing along dalam kereta sambil tengok lirik. Kalau macam Spotify tampilan tu ada. Tapi di YT Music takde sebab lirik dia statik. Tak bergerak mengikut baris. Tapi aku faham la sebab dia ambil direct dari Youtube. Kadang-kadang ada setengah lagu takde lirik pun. Jadi, layan jela ya. 

BERBALOI KE LANGGAN YOUTUBE MUSIC

Pada aku berbaloi. Aku ambil kira pakej standard (RM14.90/bulan) sebab aku rasa ini pakej paling ramai orang langgan. Dengan library music yang besar, tanpa iklan lagi, jadi aku rasa melanggan YT Music adalah pilihan yang mudah. Tapi kalau kau orang nak karaoke ke atau nak menikmati pengalaman muzik yang lebih padu, aku rasa kau orang langgan Apple Music atau Spotify la. YT Music ni sesuai untuk pendengar casual macam aku. Kadang-kadang bukak laptop nak buat kerja ke apa nak pasang lagu. Aku rasa YT Music la yang paling convenient nak dibandingkan dengan platform strim yang lain. 

Akhir kata, ikut la kau orang punya preferences. Aku bagi tahu apa kelebihan dan kekurangan YT Music. Aku tak dibayar oleh sesiapa untuk buat artikel ini. Lain orang lain citarasa kan. Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Eh, dah menyimpang pulak. Ok sekian itu sahaja untuk artikel kali ini.

Comments

Popular Posts